Monday, May 16, 2011

Nik Aziz : Kezaliman Akan Kalah Jua Akhirnya

Selangorkini - Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan kezaliman tetap juga akan tewas dan meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertingkatkan kesabaran ekoran keputusan mahkamah mengarahkan Anwar agar membela diri hari ini.
“Saya nasihatkan supaya DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) banyakkan bersabar, kezaliman akan kalah jua akhirnya,” ujar Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Beliau menyatakan demikian sebagai respons terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan Anwar membela diri terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
“Saya diberitahu tentang keputusan mahkamah yang memerintahkan DSAI membela diri dalam kes liwat II.
“Nampak sangat bahawa DSAI cuba disabitkan bersalah dalam apa jua keadaan sekalipun,” tulis Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan di laman twitter.
Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata, berdasarkan bukti beliau mendapati ada kes prima facie sekaligus mengarahkan Anwar yang juga Ketua Pembangkang membela diri.
Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari, 25, di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.
Peguam bela utama Karpal Singh dalam hujahnya sebelum ini juga berkata pihak pendakwa telah gagal membuktikan wujudnya kes prima facie terhadap Anwar dan oleh itu, tertuduh patut dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan tanpa perlu dipanggil membela diri.
Katanya, saksi utama Mohd Saiful telah berbohong dalam laporan polis yang dibuatnya pada 28 Jun, 2008 bahawa kononnya aksi itu berlaku tanpa kerelaannya.
Pasukan guaman Anwar menegaskan Ketua Pembangkang itu sekali lagi menjadi mangsa konspirasi politik tertinggi melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Anwar kini mempunyai tiga pilihan bagi mempertahankan dirinya – menjawap melalui keterangan sumpah dari kandang saksi, membaca kenyataan dari kandang tertuduh dan tidak boleh disoal-balas ataupun memilih untuk mendiamkan diri.
Pasukan pendakwaan diketuai oleh Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, dan dianggotai oleh timbalan ketua bahagian pendakwaan Nordin Hassan dan Mohd Hanafiah Zakaria, serta timbalan pendakwaraya CK Wong dan Noorin Badaruddin.
Pihak pembelaan pula terdiri daripada peguam kanan Karpal Singh dan dibantu oleh Param Cumaraswamy, Sankara Nair, CV Prabhakaran, Marissa Christopher Fernando dan Ram Karpal Singh

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template