Sunday, May 22, 2011

MerdekaReview dan kisah seorang Cina menulis dalam Bahasa Melayu

merdekareview.com - Sebagai seorang Cina Malaysia, pengalaman penulisan dalam Bahasa Melayu jauh berbeza jika dibandingkan dengan penulisan dalam Bahasa Cina.  Penulisan dalam Bahasa Melayu adalah sesuatu yang bukan sahaja bersendirian seperti penulisan dalam bahasa Cina, malahan jauh lebih sepi rasanya.

Sahabat Cina lazimnya tidak membaca analisisi tentang isu-isu semasa dalam Bahasa Melayu.  Banyak kali saya ditanya oleh kenalan-kenalan dan pembaca-pembaca edisi Bahasa Cina MerdekaReview soalan yang sama: dah lama tak nampak kolum kau diMerdekaReview?
Ada, saya masih menulis untuk MerdekaReview, tapi bukan dalam Bahasa Cina.  Kini saya menulis dalam Bahasa Melayu - Bacalah Edisi Bahasa Melayu MerdekaReview!

Jawapan saya kadang-kadang mengundang muka yang semacam saja, seolah-olah adalah sesuatu yang aneh apabila seorang Cina menulis dalam Bahasa Melayu.  Saya tak salahkan mereka.  Saya pun hanya memulakan pembacaan berita dan karya dalam Bahasa Melayu secara berterusan bermula dari zaman reformasi.  Ingatan dan pengalaman pembacaan segala bahan Bahasa Melayu semasa belajar di sekolah rendah dan menengah bagaikan dibaluti kabut tebal.  Selepas itu, bacaan utama saya merupakan bahan Bahasa Cina dan Bahasa Inggeris.
Dunia pembacaan saya berubah apabila laungan reformasi makin kuat bergema menggegarkan generasi muda.  Surat khabar Bahasa Melayu pertama yang saya baca ialah Harakah.  Buku Bahasa Melayu pertama yang saya beli ialah karya Shahnon Ahmad berjudul "Shit".

"Kau kalau tak reformasi diri kau terlebih dulu seluruhnya, kau tak akan berjaya mereformasi sistem politik taik barisan yang busuk lagi membusukkan ini.  Kau sama saja dengan ketulan taik di barisan taik kalau kau tak reformasi diri kau terlebih dulu."

Frasa kata "yang busuk lagi membusukkan" dan banyak lagi frasa kata sedemikian dalam karya "Shit" mempengaruhi gaya penulisan saya hari ini.  Kini saya suka gunakan frasa kata seperti "yang zalim lagi menzalimkan" atau "yang lucu lagi melucukan"...

Penulisan cukup penting buat seseorang insan yang sukakan aktiviti membaca.  Aktiviti penulisan itu memerlukan ruangan atau pentas yang dapat menyampaikan buah fikiran seseorang kepada pembaca secara amnya.

MerdekaReview bukan sahaja memberikan ruangan tersebut kepada saya.  Raison d’ĂȘtreMerdekaReview yang berkait rapat dengan penyediaan ruangan untuk penterjemahan dan penulisan yang dapat menjalin hubungan antara dunia penulisan Bahasa Cina dan Bahasa Melayu banyak menggalakkan saya untuk menulis meskipun kerja senantiasa meletihkan saya.

Saya asyik memikirkan bagaimana penulisan saya dalam Bahasa Melayu dapat menambah sedikit pemahaman pembaca edisi Bahasa MelayuMerdekaReview kepada kekompleksan pelosok dunia yang lebih senang difahami jika seseorang fasih Bahasa Cina.
Kadang kala saya berbisik kepada diriku: Betulkah masa depan Malaysia bergantung kepada interaksi kepelbagaian etnik dan pemahaman sesama etnik berlainan?  Ataupun, biarlah kita yang selesa dengan keadaan sedia ada teruskan begitu sahaja.

Seorang Cina apabila menulis dalam Bahasa Cina banyak mendapat sambutan.  Namun masih ada orang yang bertekad dengan penulisan dalam Bahasa Melayu malahan menulis secara kritikal meskipun sepi rasanya.  Dalam hal ini, saya cukup menghargai dan menyanjung tinggi usaha yang dimulakan oleh Lim Hong Siang danMerdekaReview.

MerdekaReview tidak sama dengan media lain.  Jika sekiranya MerdekaReviewdibiarkan "mati begitu sahaja", penjalinan hubungan antara dunia Bahasa Cina dan Bahasa Melayu yang baharu dibina akan "lenyap" dalam masa singkat.  Media lain tidak signifikan dalam usaha ke arah ini.

Saya terbayangkan perasaan kesayuan (melancholy) mengisi segenap pelosok kota, seperti pengalaman dan pengamatan Orhan Pamuk mengenai Istanbul.  KematianMerdekaReview melambangkan kesayuan sebuah kota yang pernah ditenggelami laungan reformasi.  Sedih.
Anda boleh derma melalui akaun bank berikut:Hong Leong Bank Account: Merdeka Review Sdn. Bhd. (No akaun: 04001025891)
EON Bank Account: Merdeka Review Sdn. Bhd. (No.akaun: 0595110002973)
Maybank Account: Merdeka Review Sdn. Bhd. (No. akaun: 514440123099)

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template