Tuesday, May 10, 2011

Malaysia Masuki Musim Kering Dan Panas

Sekadar gambar hiasan. Bukan kena sumpah laknat
Selangorkini - Malaysia sedang mengalami musim monsun barat daya yang secara relatifnya adalah lebih kering dan panas berbanding bulan-bulan yang lain lapor Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini.
Pada masa yang sama,  kehadiran ribut tropika Aere di  timur laut Filipina  serta sistem tekanan rendah di  Laut Andaman yang menyebabkan kelembapan udara tertumpu di kawasan tersebut dan menyebabkan keadaan cuaca menjadi lebih panas dan kering di kebanyakan tempat di seluruh negara.
Bagi bulan Mei 2011, bacaan suhu tertinggi setakat ini ialah 36.2ºC yang direkodkan pada 06 Mei 2011 oleh Stesen Meteorologi Subang.
Bacaan ini adalah lebih rendah berbanding yang dicatatkan pada 18 Mei 1998 iaitu 38.9ºC (Stesen Meteorologi Chuping) dan 38.0ºC oleh Stesen Meteorologi Melaka (02 Mei 1998) dan Kuala Krai (18 Mei 1998).
Musim  monsun Barat Daya  telah mula berlaku di  Malaysia dan keadaan ini dijangka berterusan  sehingga  September 2011. Semasa  monsun Barat Daya, keadaan atmosfera adalah stabil yang menyebabkan pembentukan awan hujan berkurangan.
Kesannya kebanyakan tempat di Malaysia akan mengalami lebih banyak hari yang tiada hujan berbanding hari hujan pada amnya.
Semasa musim ini,  negeri-negeri  di  utara Semenanjung,  semua bahagian di Sabah serta  Bahagian Mukah, Sibu, Kapit, Miri dan Limbang di Sarawak dijangka  mengalami pengurangan hujan  antara bulan Mei hingga Jun 2011.
Sementara itu, dalam bulan Julai hingga September 2011, semua negeri di Semenanjung,  Sabah dan  Sarawak dijangka mengalami hujan pada paras normal.Orang ramai dinasihatkan  agar minum air yang banyak untuk mengelakkan dehidrasi.
Pada masa yang sama, orang awam dinasihatkan agar  berjimat dalam menggunakan air dan tidak menjalankan aktiviti pembakaran terbuka.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template