Monday, May 23, 2011

Laman web baru DAP roketkini.com

Merdekareview - Lantaran daripada kekangan ruang dalam media arus perdana, DAP melancarkan laman web bahasa Malaysianya, Roketkini untuk menangkis serangan UMNO-Barisan Nasional.  Penubuhan laman bahasa Malaysia ini disifatkan sebagai usaha parti politik ini untuk mendampingi masyarakat Melayu khususnya, yang selama ini dihalang dengan media arus perdana.

"DAP tidak ada pilihan lain kecuali menubuhkan laman web berbahasa Malaysia, Roketkini, kerana kekangan media oleh kerajaan UMNO dan Barisan Nasional," kata Setiausaha Antarabangsa DAP, Liew Chin Tong.  Beliau menjelaskan bahawa ruang media yang sempit selama ini telah menyekat usaha DAP yang bersifat berbilang kaum untuk mendekati masyarakat Malaysia terutamanya kaum Melayu.

Editor Roketkini, Wan Hamidi Hamid pula berkata, "Roketkini yang berbahasa Malaysia sepenuhnya bukanlah satu usaha baru dari DAP.  Sejak penubuhan parti pada 1966, pelbagai langkah dan usaha telah dilaksanakan untuk menyampaikan maklumat yang jelas dan benar dalam bahasa kebangsaan kepada rakyat, namun ia sentiasa menghadapi bermacam masalah, khususnya serangan hebat dari pemerintah; sejak zaman Perikatan hingga kepada Barisan Nasional."
Parti pembangkang di peringkat persekutuan ini sering dipaparkan sebagai "parti chauvinis Cina" dalam masyarakat Melayu oleh kerajaan UMNO-BN.  Bagaimanapun, DAP telah mengubah persepsi ini sedikit sebanyak sebelum dan selepas "tsunami politik" pada 8 Mac 2008.

"Memang masih ramai yang sinis dengan usaha DAP untuk mengarusperdanakan perjuangan politiknya yang berteraskan keadilan dan peluang saksama.  Tetapi lebih ramai lagi yang mahu Malaysia menyertai masyarakat global dalam menikmati hasil demokrasi yang membuahkan kehidupan harmoni, makmur dan stabil tanpa perlu menggadaikan hak, peluang dan kebebasan." Demikianlah tulisan editor Roketkini,  dalam artikel yang berjudul "Kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan".

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template