Thursday, May 26, 2011

Jangan guna dana KWSP sebagai penyelamat- Abdul Rahman

Keadilandaily -  Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Abdul Rahman Yusof menggesa Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) tidak menjadikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai penyelamat apabila berdepan masalah kewangan.
Ini kerana wang tabungan tersebut merupakan dana awam yang tidak sepatutnya digunakan sesuka hati.
Demikian beliau mengulas kenyataan Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman yang mendedahkan tindakan Felda memohon pinjaman berjumlah RM6 bilion daripada KWSP.
“Kita tidak mahu KWSP dijadikan tempat bail out bagi mengelakkan sesebuah syarikat atau agensi bankrap. Sehingga kini KWSP sebenarnya menanggung kerugian mencecah berbilion ringgit (Untuk menyelamat syarikat tertentu)” kata beliau.
Menurut Abdul Rahman, pada 2008, kerajaan turut membenarkan pinjaman KWSP kepada ValueCap Sdn Bhd, sebuah pengurus dana yang dimiliki Khazanah.
Tambah beliau, tindakan menggunakan wang KWSP bagi menyelamatkan syarikat dan projek tertentu itu sudah bermula sejak zaman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Antaranya Khazanah Holdings Berhad, Perwaja Terengganu Sdn. Bhd dan projek lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
“Sebenarnya banyak agensi kerajaan membuat pinjaman dengan KWSP, tapi yang terlalu banyak membuat pinjaman adalah Khazanah. Kebanyakan agensi kerajaan dan syarikat swasta membuat pinjaman semasa ekonomi negara berada dalam keadaan tenat,” ujarnya.
Kata beliau, sekiranya tindakan Felda membuat pinjaman untuk tujuan pelaburan,  agensi itu juga perlu menjelaskan apakah bentuk keuntungan yang akan diperoleh.
Tegasnya, Felda pernah mengalami beberapa kerugian termasuk pelaburan dalam Felda Global Ventures sehingga mencecah RM250 juta.
“Kita tahu bahawa KWSP adalah duit rakyat, Felda buat pinjaman untuk pelaburan tetapi malangnya pelaburan mereka mengalami kerugian.
“Apabila rugi, yang menanggung beban adalah peneroka. Sepatutnya Felda menjaga kebajikan peneroka dan bukannya dibebani dengan hutang,” ujarnya.
Justeru beliau menggesa samada KWSP dan Felda menjelaskan isu itu.
“Masalah ini akan makin parah apabila duit rakyat digunakan dan yang menanggung beban juga adalah rakyat,” ujarnya.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template