Monday, May 30, 2011

AMK perkemas jentera hadapi pilihan raya umum


PETALING JAYA: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) kini dalam proses memperkemaskan jentera bagi bersiap sedia  menghadapi pilihan raya umum, kata Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Menurut Shamsul, jentera pilihan raya AMK akan memberikan tumpuan khusus di kawasan yang ditandingi KEADILAN.
“Jentera AMK akan digerakkan di kawasan yang menjadi fokus pimpinan pusat.
“Pertama, kita akan fokus di kawasan-kawasan yang ditandingi KEADILAN. Kemudian kita kembangkan ke kawasan yang ditandingi AMK secara khusus,” kata Shamsul selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan AMK Pusat di Petaling Jaya semalam.
Pada masa yang sama, AMK berazam untuk mengekalkan rekod bersih yang tiada sebarang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) atau Ahli Parlimen yang mengkhianati KEADILAN.
Justeru, AMK akan menghimpunkan jenteranya di Kuala Lumpur untuk persiapan menghadapi pilihanraya sebelum konvensyen Pilihan Raya Keadilan yang bakal diadakan pada 19 Jun.
“Kita sudah tetapkan 18 Jun sebagai tarikh untuk menghimpunkan jentera KEADILAN dan bakal-bakal calon dalam satu program khusus iaitu sehari sebelum konvensyen pilihan raya KEADILAN yang dijadualkan berlangsung pada 19 Jun ini.
“(Kita juga) akan mengenalpasti calon-calon daripada AMK samada yang bertanding di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.
“Kita akan edarkan borang profail untuk calon-calon isi dan kita akan buat tapisan dan saringan kerana kita mahu kekalkan rekod calon-calon AMK yang bertanding dan menang kekal istiqamah dengan KEADILAN dan tidak ada seorang pun yang melompat parti.
“Jadi imej ini akan kita kekalkan,” kata Shamsul.
Pada 19 Jun pula, AMK akan mengadakan sesi dialog dengan mahasiswa negara untuk mengambil kira pandangan mereka dalam membentuk hala tuju KEADILAN pada masa hadapan.
“Kita akan adakan dialog dengan mahasiswa dan kita akan panggil mahasiswa daripada seluruh universiti samada mahasiswa universiti swasta atau pun mahasiswa universiti awam.
“Kita akan ajak mereka berdialog dan mereka boleh lontarkan pandangan dan idea-idea agar apa-apa yang mereka lontarkan itu kita boleh rangkumkan sebagai satu dasar yang akan memandu KEADILAN pada masa hadapan,” kata Shamsul.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template