Tuesday, April 12, 2011

Timbalan Menteri berkerut dahi...boleh menang ke?

TAK payahlah you orang gempur Sarawak kuat-kuat, BN mesti menang punya,” kata seorang Timbalan Menteri kepada sekumpulan Ahli Parlimen (MP) Pakatan Rakyat ketika minum-minum di lobi Parlimen.“Mana you tau BN mesti menang?” tanya seorang MP.
sarawak.pas.org.my - “Mestilah menang BN kuat punya, kita control Sarawak majoriti lebih dua pertiga,” kata Timbalan Menteri bukan daripada Umno tersebut.

“You tengok Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, you fikir BN boleh kalah ke?” lantas seorang MP yang lain menghujah.

Dahi Timbalan Menteri itu terus berkerut. Beliau terdiam seketika. “Itu cerita lain,” katanya sambil terus berlalu dari situ.

Dari raut wajahnya ketika terpingga-pingga akibat ‘pukulan’ hujah simple MP Pakatan Rakyat.

Beliau terpingga-pingga kerana hampir ke semua negeri yang dimenangi Pakatan Rakyat, dikuasai penuh oleh BN. Lebih dua pertiga majoriti. BN juga tidak pernah mimpi untuk tewas di negeri-negeri tersebut.

Tsunami politik 2008 (bagi kerusi Dun) tidak berlaku di Sarawak kerana Pilihan Raya Negeri diadakan secara berasingan. BN Sarawak bagaimanapun menerima kejutan pertama selepas tewas kepada DAP dalam PRK Sibu.

Maknanya, penolakan rakyat terhadap BN masih boleh berlaku. Mungkin pada pendapat yang berbeza, BN Sarawak tidak mungkin tewas kerana perbezaan besar etnik sosio budaya dan demografi daripada Semenanjung.

Harus diingat, kaum Melayu bukan kaum majoriti di Sarawak. Dalam masa yang sama kaum Tionghoa dan Iban secara majoritinya menolak BN dan Tan Sri Taib Mahmud.

Kita harus akui bukan mudah untuk menumbangkan BN. Kerusi Dewan Undangan Negeri ada 71, maknanya hendak mendapat majoriti mudah Pakatan Rakyat harus menang 37 kerusi.

Tetapi segalanya tidak mustahil. Setakat ini diunjurkan’ Pakatan Rakyat boleh menang antara 13 hingga 25 kerusi Dun. Jumlah ini sudah cukup untuk menafikan dua pertiga majoriti BN.

Jika jumlah ini diperolehi, ia sudah cukup untuk membuatkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak menarik hand-brake. PRU tidak ada tahun ini, mungkin 2013.

Pada penulis, Pakatan Rakyat harus berfikir lebih jauh ke hadapan. Bukan setakat menafikan dua pertiga majoriti, mana tahu rakyat Sarawak berani melakukan perubahan seperti rakan-rakan di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Maka kita harus bersedia untuk menyusun bakal Ketua Menteri yang baru, barisan exco. Dan yang terutama sekali menjaga Adun-Adun supaya mereka tidak dibeli oleh Taib Mahmud.

Rakyat Sarawak sudah memberi pukulan pertama kepada BN, iaitu tiada kerusi dimenangi secara percuma (menang tanpa bertanding seperti pilihan raya sebelum ini.

Penulis mendapat khabar, BN menjangkakan menang percuma 10 kerusi Dun pada hari penamaan. Namun jangkaan tidak jadi kenyataan. Sebaliknya jika SPR tidak memihak kepada BN, sudah pasti PAS akan menang kerusi Dun Muara Tuang.

Rakyat Malaysia di seluruh negara, bersama-sama dengan rakyat di Sarawak, mereka menantikan perubahan. Mereka mahu melihat BN tumbang di Sarawak.

Moga ‘tsunami’ benar-benar berlaku, moga ia menjadi isyarat BN akan terkubur. Kita menanti isyarat tsunami dari Bumi Kenyalang.

- Mohd Rashidi Hassan

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template