Saturday, April 16, 2011

Sedih sungguh...

Harakahdaily - Bermula dengan ceria di kalangan para petugas PAS pagi tadi, namun berakhir dengan kesedihan apabila gagal mencapai sasaran untuk melahirkan anak pertama mereka di Sarawak.

Ia tambah sedih lagi apabila seorang petugasnya dari Kelantan yang bertugas sejak dari hari penamaan calon di sini meninggal dunia secara tiba-tiba tengahari tadi di Beting Maro.
(Gambar: Rakan-rakan petugas PAS menziarahi jenazah Allahyarhan Mohammad Izan bin Yaakob, 56, yang meninggal dunia berbual-bual dengan rakan-rakannya tengahari tadi)

Secara tak rasmi PAS diumumkan kalah jam 4.30 petang tadi di Beting Maro, dengan majoriti hampir 1,000 undi, kawasan yang dijangka akan dimenangi oleh PAS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Pagi tadi petugas PAS memulakan tugas mereka dengan ceria apabila mendapat pelbagai gambaran positif dari pelbagai pihak khasnya Zentrum Future Studies yang meramalkan PAS menang di kelima-lima Dun yang ditandinginya.

Pengarah PRN PAS kali ini, Nasharudin Mat Isa pula meramalkan PAS akan melahirkan sekurang-kurangnya 'anak kembar' semalam yang membayangkan PAS akan menang di sekurang-kurangnya dua Dun.

Namun apabila disahkan PAS kalah di Beting Maro  petang tadi, semua harapan itu berkecai.

PAS bertanding di lima kerusi dalam PRN Sarawak kali ini iaitu Beting Maro, Sebuyau, Sadong Jaya, Muara Tuang dan Tanjong Datu dalam PRN kali ini.

Sehingga kini, keputusan yang diperolehi adalah Beting Maro (PAS 2578 BN 3014), Sadong Jaya (PAS 1072 BN 3949), Sebuyau (PAS 841 BN 2387), Muara Tuang (PAS 728 BN 2389) dan Tanjong Datu (PAS 655 BN 2940).

SPR akan mengumumkan angka rasmi PRN Sarawak malam ini.

Sementara itu, Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat (JPP) mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pimpinan, warga petugas, pengundi  serta penyokong yang memberikan komitmen untuk pilihan raya ini.,

"Sumbangan serta kerja kuat menjayakam gerakkerja kempen PRN Sarawak.  Insha Allah kita semua akan memperolehi limpahan ganjaran Allah swt," kata Mohd. Nasir Daud, Setiausaha JPP  dalam satu kenyataannya selepas keputusan tidak rasmi PAS kalah kelima-lima Dun keluar.
Pakatan menang tiga kerusi di Miri
Sementara itu, pencapaian PKR dikatakan sangat baik dalam pilihan raya ini begitu juga DAP.
Di MIRI, ISMAIL HASIM melaporkan, Pakatan Rakyat melalui dua calon DAP di Dun Piasau dan Pujut dijangka mendapat keputusan memberangsangkan dan detik rasmi bakal tiba sebaik SPR umumkan pengesahannya malam ini.

Ketua DAPSY Malaysia, Anthony Loke Siew Fook ketika bercakap kepada HarakahDaily baharu sekejap menyatakan, DAP menang di kedua-dua kerusi tersebut.

Bagaimanapun beliau tidak dapat memberikan butiran lengkap kerana berada di dalam situasi genting di dewan pengiraan.

"Ya dua dua menang," tegasnya yang juga Ahli Parlimen Rasah.

Sementara itu, satu lagi kerusi di Parlimen Miri ini iaitu Senadin yang diwakili oleh calon PKR, Dr Teo Yu Keng juga dilaporkan mencapai kemenangan.

Menurut YDP PAS Kawasan Miri, Haji Jofri Jaraiee, ini adalah keputusan tidak rasmi dan perlu menunggu keputusan penuh awal malam nanti.

Dalam artikel terakhir dari Miri siang tadi, Haji Jofri menyatakan Pakatan boleh menang bergaya jika tiada sebarang penipuan di saat akhir.

Keputusan ini merupakan satu kebangkitan awal kepada Pakatan khususnya di Bandaraya Miri ini yang selama ini dimonopoli oleh BN sejak Sarawak menyertai Malaysia pada 1963.

Dengan keputusan ini juga bermakna tumbanglah seorang pemimpin besar lagi tokoh yang telah lama berkuasa di Miri ini iaitu Dr George Chan yang dikalahkan oleh seorang hero muda, peguam Ling Sie Kiong, 28, yang memang kelihatan sangat mantap sejak awal lagi.
PAS kurangkan majoriti BN di Sebuyau
Di Sebuyau, AZIZ MUDA melaporkan,  sehingga jam 6.30 petang ini calon PAS, Adam Ahid telah ketinggalan melebihi 1,000 undi kepada calon BN, Julaihi Narawi, berdasarkan keputusan awal pengiraan undi di beberapa saluran.

AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman bagaimanapun berkata, PAS ternyata berjaya mengurangkan majoriti undi yang dimenangi BN berbanding keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tahun 2006 lalu yang ditandingi calon PKR yang mengalami kekalahan melebihi 2,000 undi.

Menurut beliau, selain itu, PAS juga sedang menunggu keputusan dari peti undi yang menjadi kubu kuat PAS di Kampung Seberang yang belum diperolehi yang dijangka akan memihak kepada PAS.

Katanya, pengundi di Kampung Seberang berjumlah hampir 2,000 orang dan jika keputusan dari peti undi di kawasan itu memihak kepada PAS, ia pasti akan memberi nafas kepada PAS bagi keputusan pilihanraya Dun Sebuyau tahun ini.

"Bagaimanapun, keputusan awal yang telah diperolehi itu jelas menyimpang dari jangkaan pelbagai pihak yang meramalkan PAS berjaya memenangi kerusi Dun Sebuyau dalam PRN Sarawak Ke-10 tahun ini.

"Walaupun terdapat peningkatan sokongan terhadap PAS terutama dari kaum Iban yang mempunyai pengundi berjumlah 3,000 orang, tetapi trend pengundian dari keputusan awal yang telah diperolehi kini ternyata meleset dari ramalan sebelum ini yang meramalkan PAS akan menang di Dun Sebuyau," katanya ketika dihubungi, petang ini.

Peningkatan sokongan dari kaum Iban, tegas beliau, berpunca dari masalah tanah yang dialami oleh mereka yang masih belum dapat diselesaikan oleh BN yang memerintah Sarawak sejak berpuluh tahun lalu.

"Namun sokongan yang diperolehi oleh PAS dari orang Melayu tetap tidak banyak perbezaannnya berbanding keputusan tahun 2006 lalu," jelasnya.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template