Monday, April 11, 2011

Bandingkan 30 tahun Sarawak dengan 3 tahun Pakatan


Harakahdaily - Rakyat negeri Sarawak perlu membandingkan kehidupan mereka di negeri ini yang 30 tahun diperintah BN, dengan kehidupan rakyat di negeri Pakatan Rakyat, kata Datuk Mahfuz Omar.

Naib Presiden PAS itu berkata, biarpun baru tiga tahun Pakatan Rakyat memerintah di Kedah, Selangor dan Pulau Pinang, namun keperluan utama rakyat di negeri-negeri itu cukup diberi perhatian oleh kerajaan negeri.

Apatah lagi rakyat Kelantan yang telah diperintah PAS sejak 20 tahun lalu, kini menikmati pelbagai kelebihan yang disediakan kerajaan.

"Rakyat Sarawak perlu iri hati dengan negeri Pakatan.

"Kena cemburu kepada rakyat Selangor, Kedah Kelantan Pulau Pinang, mereka dapat macam-macam dari kerajaan negeri, tapi rakyat Sarawak tak dapat," katanya ketika berceramah di sini.

Beliau memberi contoh rakyat Kelantan yang mendapat pelbagai kelebihan seperti skim Takaful Kifalah, Armalah dan puluhan yang lain.

Termasuk juga Selangor yang memberi 20 meter padu air percuma, RM1,500 kepada anak-anak yang memasuki universiti.

Di Kedah dan Pulau Pinang juga katanya, keadaan serupa berlaku apabila kekayaan negeri dibahagikan untuk dinikmati rakyat negeri itu.

"Kalau 2008 rakyat Kedah, Selangor, Pulau Pinang tak buat perubahan, adakah mereka dapat apa yang mereka dapat sekarang?

"Seperti Sarawak, walaupun rakyatnya 30 tahun di bawah BN, pemimpin kaya, rakyat papa kedana.

"Tuan-tuan boleh dapat benda sama, dengan syarat tuan-tuan lakukan perubahan," tambah Mahfuz lagi.

Beliau turut membidas tindakan pemimpin BN yang menuduh Pakatan Rakyat hanya pandai berjanji.

Katanya, apa yang dinyatakan Pakatan Rakyat bukan hanya janji manis, namun telah dibuktikan di negeri yang diperintah mereka.

"Kita bukan jual janji, bukan jual ubat, tapi kita sudah buktikan di negeri Pakatan Rakyat.

"Kita perintah tiga tahun, lebih baik dari BN perintah 50 tahun," katanya.

Mengakhiri ceramah tersebut beliau turut mendeklamasikan pantun yang dituju khas kepada rakyat negeri itu.

Jom Ubah Sarawak

Hari Gawai Minum Air Tuak,
Dari Marudun sampai ke Ba'kelalan,
Taib Mahmud Sudah sapu kekayaan Sarawak,
Ayuh kita undi Pakatan.

Orang Cina sudah bosan dengan George Chan,
Mereka sedia menyambut perubahan,
Bagaimana pula Melayu Melanau dan Iban,
Saya yakin anda semua akan undi Pakatan.

Ramai-ramai ke bandar Kuching,
Untuk sambut Hari Gawai,
Rakyat sarawak sudah tak nak dacing,
Ayuh kita sokong Pakatan ramai-ramai.

2 comments:

Anonymous said...

KOTA BHARU 11 April - Bekalan air Kelantan yang sering menimbulkan rungutan dalam kalangan rakyat mendapat perhatian Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) apabila beberapa peserta membangkitkan isu itu dalam Dialog Suhakam Bersama Rakyat di sini, hari ini.
Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam ketika menjawab soalan peserta berkata, kemudahan asas termasuk bekalan air adalah tanggungjawab kerajaan dan pihaknya akan melanjutkan masalah itut untuk dibincangkan.
Sebelum itu, seorang peserta mendakwa, dia bertindak memotong bekalan air ke rumahnya kerana setelah empat tahun membayar bil, tetapi tidak mendapat perkhidmatan sewajarnya.
"Saya kecewa kerana bekalan air sejak dahulu lagi bermasalah sehinggalah empat tahun lepas saya kembali semula ke negeri ini, masalah yang sama masih berulang.
"Saya malu apabila mendapati rakyat di negeri lain telah lama menikmati bekalan air secukupnya, tetapi saya hanya membayar bil air bertahun-tahun, tetapi air tidak naik ke atas rumah dua tingkat yang saya sewa," katanya.

Anonymous said...

KOTA BHARU: Lebih 300 peniaga Arked Lama Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) dekat sini pulang kecewa, apabila Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat, yang diharap mampu menyelesaikan kemelut berkaitan Bazar Tok Guru, tidak hadir pada sesi pertemuan antara peniaga dan pemimpin negeri, semalam.

Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Lama Arked MPKB, Ab Salim Ahmad, berkata tindakan kerajaan negeri itu membuktikan mereka terutama Nik Aziz sudah menutup pintu perbincangan bagi menyelesaikan masalah peniaga terbabit. Katanya, peniaga menagih janji dibuat Nik Aziz sebelum pilihan raya umum lalu, yang menjanjikan tempat berniaga selesa dan minta ia ditunaikan kerana janji itu keluar dari mulut seorang yang dianggap sebagai alim ulama serta dihormati masyarakat. “Persatuan sudah menghantar surat kepada Nik Aziz serta Exco kanannya supaya hadir ke Bazar Tok Guru hari ini bagi mengadakan pertemuan selain melihat sendiri keadaan ruang niaga di bazar berkenaan.

“Namun kami terasa amat kecewa, apabila Nik Aziz serta wakil kerajaan negeri tidak hadir, sekali gus membuktikan mereka sudah menutup pintu perbincangan bagi menyelesaikan kemelut bazar ini. Hanya Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri yang hadir.

“Keadaan ini membuktikan kerajaan negeri sudah menganaktirikan kami selain membuka sikap sebenar mereka iaitu susah untuk mengadakan perbincangan," katanya di sini, semalam.

Kemelut peniaga ini bermula apabila Bazar Tok Guru yang akan menempatkan mereka berniaga, tidak memenuhi spesifikasi sebagaimana yang dijanjikan, dengan ruang niaga yang sempit serta dijual pada harga tinggi.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Azmi Othman, berkata hasil siasatan didapati Bazar Tok Guru selamat untuk diduduki mengikut spesifikasi keselamatan kebakaran.

Katanya, laluan yang disediakan bagi membolehkan tugasan menyelamat sekiranya berlaku kebakaran serta kemudahan alat memadam kebakaran memenuhi Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template