Monday, April 25, 2011

1.3 juta pekerja masih di bawah paras kemiskinan

Keadilandaily - Kira-kira 34 peratus atau bersamaan hampir 1.3 juta pekerja di Malaysia berpendapatan bulanan di bawah paras kemiskinan, kata jurucakap jawatankuasa 1 Mei, S Arutchelvam.
Bahkan katanya, ada di antara pekerja terutama di sektor perladangan dan perkilangan yang mendapat gaji permulaan pada paras RM 450 sebulan, lebih rendah dari pendapatan di bawah kemiskinan iaitu RM720 sebulan.
“Dalam masa yang sama, harga keperluan asasi meningkat mendadak. Ini adalah reailiti kehidupan di Malaysia. Justeru tuntutan kami adalah kerajaan segera melaksanakan Akta Gaji Minima,” kata Arul dalam sidang media sempena pengumuman perarakan untuk sambutan 1 Mei di bangunan Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor (KLSCAH), hari ini.
Arul menjelaskan, tekanan oleh Persatuan-persatuan Majikan terhadap kaum pekerja sering kali menggagalkan tuntutan agar Akta Gaji Minimum diluluskan di Parlimen.
“Kroni di didahulukan, untung diutamakan. Dasar kerajaan sering kali memihak kepada syarikat-syarikat besar. Sekarang, mereka boleh mengugut kerajaan, iaitu sama ada untuk menyebelahi pekerja, atau pun pengilang menarik keluar pelaburan,” ujarnya.
Justeru, Arul berkata, penyelesaian bagi Gaji Minima di Malaysia boleh dimulakan dengan memperkenalkan gaji minima kepada sektor tertentu terlebih dahulu seperti industri perkilangan.
“Tuntutan kita ialah kadar gaji minima adalah mengikut kadar beban kehidupan di Malaysia,  sekurang-kurangnya RM 900. Ia tidak boleh kekal kerana setiap kali adanya kenaikan barangan, seharusnya begitu juga dengan kenaikan gaji,” kata Arul.
Terdahulu sebelum itu beliau memaklumkan, Jawatankuasa 1 Mei yang terdiri daripada lebih 60 kumpulan masyarakat, badan bukan kerajaan dan parti politik akan mengadakan perarakan sempena Hari Pekerja dengan tema ‘Harga Barang Naik, Gaji Bila Lagi,”
Peserta dijangka berkumpul di Stesen Monorel Chow Kit dan berarak ke Dataran Merdeka, bermula jam 10.30 pagi dan berakhir dengan bacaan deklarasi Hari Pekerja di Dataran Merdeka.
Dijangkakan sekurang-kurangnya 500 peserta yang terdiri dari pekerja, mahasiswa dan aktivis masyarakat akan menyertai perarakan tersebut.
Ketika ditanya mengenai kebenaran perarakan oleh polis, Arul menjelaskan beliau akan memaklumkan melalui notis pemberitahuan.
“Kami akan maklumkan kepada pihak polis. Saya tidak fikir mereka akan halang, kerana pada 26 Mac yang lalu satu perarakan Solidariti Kaum Wanita telah diadakan di Pasar Seni. Sebelum ini kita telah anjurkan acara yang serupa dan tiada sebarang gangguan.
Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah penyelaras Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) Bawani KS, Pengarah Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) Valerie Thomas, wakil Suaram, Andika Abd Wahab dan Setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Mohd Izzuddin Helmi.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template