Friday, April 1, 2011

1221 kes pendedahan kepada bahan kimia. Tapi masih bongkak teruskan projek maut



1221 kes dilaporkan melibatkan masalah pendedahan kepada bahan kimia, habuk dan debu yang mengakibatkan penyakit kronik meningkat sebanyak 28.7 peratus berbanding tahun 2009. Akan datang bertambah lagi satu kilang maut (proses tanah jarang) bakal beroperasi di Gebeng. Lagi menyayat hati lagi, rejim masih berdegil dan bongkak untuk meneruskan projek reaktor nuklear. Tekak mereka terlalu tamak.


Kecekapan mesin boleh mencapai kecekapan 100% jika tidak rosak, tetapi tidak mungkin bagi manusia untuk mecapai kecekapan sebegitu. Sebarang kecuaian tidak boleh dimaafkan bila melibatkan unsur radioaktif atau logam berat. Jangan asyik fikirkan tekak sendiri saja.


Kemalangan di sektor pembinaan meningkat


KUALA LUMPUR 31 Mac — Kes kemalangan di tempat kerja membabitkan sektor pembinaan mendahului sektor perindustrian yang lain sepanjang tahun lalu, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan.

Beliau berkata, daripada 57,656 kes kemalangan yang dilaporkan, sebanyak 4,667 atau 8.1 peratus kes berlaku di sektor terbabit.

Menurutnya, jumlah tersebut memperlihatkan peningkatan sebanyak 2.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Nilai ini agak tinggi jika dibandingkan dengan kemalangan di sektor lain seperti sektor pertanian dan pengangkutan,” katanya ketika berucap merasmikan kempen Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan anjuran Syarikat Pembinaan Jaya Zira Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibaca oleh Ketua Setiausaha kementeriannya, Datuk Zainal Rahim Seman.

Mengulas lanjut, Maznah berkata, dari segi aspek kemalangan maut pula, sebanyak 137 atau 11.5 peratus kes dilaporkan tahun lalu berbanding 116 atau 9.4 peratus kes pada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah tersebut kata beliau, 37.2 peratus kes disebabkan oleh terpijak atau terhempap benda-benda berat sementara 33.6 peratus akibat terjatuh dari tempat tinggi dan 7.3 peratus kerana dihempap benda yang jatuh.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan berkata, selain kes kemalangan, kes melibatkan kesihatan turut dilaporkan di tempat kerja.

“Sebanyak 1,221 kes dilaporkan melibatkan masalah pendedahan kepada bahan kimia, habuk dan debu yang mengakibatkan penyakit kronik.

“Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 28.7 peratus kes berbanding tahun 2009,” ujarnya.

Ekoran itu, katanya, pada tahun lalu, kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) terpaksa membayar pampasan kepada mangsa kemalangan sebanyak RM1.5 billion.

Sehubungan itu beliau berkata, kementerian berharap majikan dapat menerapkan aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja seperti digariskan dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994.-meloya

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template