Tuesday, March 8, 2011

BN menang PRK tidak sama Pakatan menang PRU – Anwar



KUALA LUMPUR: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata,
pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya kecil (PRK) adalah dua perkara
berbeza kerana kemenangan atau kekalahan dalam satu-satu PRK bukan
cerminan langsung turun naik sokongan rakyat kepada mana-mana parti.

“Kalau kita lihat pilihan raya umum 2008 sebagai kayu ukur, kita akan
sedar sebelumnya kita kalah teruk di Ijok apabila menurunkan Tan Sri
Khalid Ibrahim.

“Dalam masa kurang setahun, kita berjaya mengatasi kekalahan tersebut
dan kita bangkit (pada PRU 2008).

“Bukan sahaja Ijok, satu Selangor jatuh ke tangan Pakatan Rakyat,” kata
Anwar.

Anwar berkata demikian sebagai reaksi terhadap dakwaan pihak tertentu
bahawa siri kemenangan kecil Barisan Nasional (BN) dalam beberapa PRK
mutakhir ini menandakan sokongan rakyat sudah kembali kepada BN.

BN baru sahaja memenangi PRK di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan Kerdau yang diadakan serentak dan sebelum itu PRK Tenang di Johor yang
berlangsung dalam suasana banjir.

Mengulas lanjut, Anwar bagaimanapun tetap yakin sokongan rakyat kepada
Pakatan Rakyat (PR) akan terus meningkat menjelang PRU akan datang.
“Saya kekal optimis (PR terus mendapat sokongan rakyat),” katanya.

Anwar berkata, cabaran utama PR sekarang ini adalah penyampaian maklumat
berkenaan inisiatif Pakatan kepada segenap lapisan masyarakat.

“Kita perlu promosi Buku Jingga dengan lebih berkesan, memastikan
pengedarannya sampai ke semua kawasan terutamanya di luar bandar yang
masih merupakan satu cabaran,” ujarnya.

Tambah Anwar, turut menjadi cabaran adalah keseluruhan proses pilihan
raya yang masih perlu diperbaiki.

“Yang menjadi fokus kita adalah keseluruhan proses pilihan raya yang
masih lagi sarat dengan ketidaksempurnaan.

“(Contohnya), tiada akses (buat pemimpin Pakatan Rakyat) kepada media,”
kata Anwar.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template