Friday, March 18, 2011

Bersih 2.0 anjur forum Tanah, Adat dan Pilihan Raya 18 Mac


KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dengan kerjasama Jawatankuasa Hak Sivil serta  NGO Peguam, Loyar Buruk akan menganjurkan sebuah forum bertajuk Tanah, Adat dan Pilihan Raya bertempat di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor pada 18 Mac ini.
Forum tersebut yang bermula pada pukul 8 hingga 10 malam akan menampilkan beberapa panelis yang terdiri daripada aktivis masyarakat dan tanah adat Sarawak  iaitu Mark Bujang, Abun Sui, Minggat dan Nicholas Mujah.
Mark Bujang merupakan Pengarah Eksekutif BRIMAS yang berkhidmat sebagai Pegawai Dokumentasi dan Kajian, bertanggungjawab dalam bahagian Sistem maklumat Geografi (GIS) di BRIMAS.
Beliau merupakan saksi dan pakar dalam beberapa kes mahkamah mengenai pemetaan komuniti tanah adat dan beberapa keputusan daripada kes tersebut yang telah dijadikan keputusan untuk penandaan lanskap.
Seorang lagi ahli panel, Abun Sui, Peguambela & Peguamcara di HNL & Co. Advocates Miri, Sarawak merupakan koordinator untuk Sarawak Indigenous Lawyers Alliance (SILA).
Abun berketurunan etnik Kenyah Badeng dan berasal dari Belaga (Bakun Dam), Sarawak, merupakan penasihat Undang-undang untuk TAHABAS – Native Customary Land Owners Network of Sarawak.  Beliau juga  ialah setiausaha KEADILAN Hulu Rajang, cawangan Sarawak.
Manakala seorang lagi ahli panel yang dikenali sebagai Minggat, juga merupakan seorang aktivis tanah adat yang telah bersama dengan masyarakatnya berjuang mempertahankan tanah mereka dari diceroboh kumpulan pembalak.
Beliau dan anak lelakinya pernah diserang dan mengalami kecederaan parah semasa perbalahan dengan pekerja syarikat pembalakan tersebut yang menceroboh balak di kawasan asal mereka.
Seorang lagi ahli panel, Nicholas Mujah ialah seorang Iban dan telah mempertahankan hak penduduk tempatan di Sarawak sejak 1980. Nicholas merupakan  Setiausaha Awam kepada Sarawak Dayak Iban Association (SADIA), dan telah ditahan sebanyak dua kali dalam masa lima bulan kerana kerja-kerja yang dijalankannya.
Manakala Ahli Jawatankuasa Pepandu Bersih 2.0, Dr Wong Chin Huat pula akan bertindak selaku moderator pada forum berkenaan. Pengerusi Bersih 2.0, Dato Ambiga Sreenevasan dijadual turut hadir dan menyampaikan kata-kata aluan pada forum berkenaan.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=9196

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template