Sunday, February 13, 2011

Merlimau: Ini bukan bendera BN

Ini bendera ke? ini bukan bendera. Ini dacing. Jangan marah. SPR menjalankan tanggungjawab demokrasi


TEMERLOH, 12 Feb: PAS membantah tindakan Barisan Nasional (BN) yang telah pun menaikkan bendera parti itu dan Umno di simpang-simpang dan sepanjang jalan di Merlimau, Melaka kerana ia jelas bercanggah dengan akta pilihan raya.
 
Serentak dengan itu, Naib Presiden  PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar bertindak segera menurunkan bendera-bendera tersebut sebagaimana yang dilakukan terhadap PAS pada pilihan raya kecil (PRK) Dun Tenang yang bulan lalu.
 
“Proses penamaan calon bagi PRK Merlimau akan diadakan pada 26 haribulan ini dan menurut akta pilihan raya semua parti politik hanya dibenarkan berkempen selepas tarikh itu.
 
“Kita juga membantah kempen pihak BN di media,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Perhubungan PAS Pahang hari ini.
 
Pakatan Rakyat memilih PAS meletakkan calon dalam PRK Merlimau 6 Mac depan.
 
Tuan Ibrahim yang baru dilantik sebagai Pengarah PRK Merlimau bagi PAS berkata, jentera PAS akan mengambil pendekatan mesra rakyat, bersikap sederhana dan tidak akan melayan sebarang provokasi agresif yang dijangka akan dilakukan oleh parti lawan. 
 
Tambahnya, meskipun PAS sedar Dun berkenaan merupakan kawasan tradisi BN namun ia tidak mustahil bagi parti itu untuk membuat kejutan kerana kawasan tersebut memiliki pengundi-pengundi bermaklumat yang bersedia melakukan perubahan dan semua peti undi mempunyai pelbagai kaum.
 
Menurut Tuan Ibrahim, Dun tersebut mempunyai 10,766 pengundi dengan Melayu 64.69 %, Cina (21.11%), India (14.16%) dan lain-lain (0.04%).
 
Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan selepas mengalami serangan jantung pada 20 Januari lalu.
 
Dalam pilihan raya umum 2008 itu, Mohamad Hidhir mengalahkan calon PAS Jasme Tompang dengan majoriti 2,154, iaitu pengurangan hampir 3,000 undi majoriti berbanding pencapaian BN sebelumnya.
 
“Dari segi kempen kita akan menekankan betapa pentingnya dewan Negeri Melaka menghantar wakil yang membawa mesej Islam, keadilan dan mendedahkan penyelewengan-penyelewengan kerajaan BN selama ini.
 
“Pengundi akan disedarkan bahawa Melaka pernah menjadi sebuah empayar Islam dulu dan pernah mempunyai kanun undang-undang Islam jadi jika kembali kepada Islam imej negeri itu akan lebih baik.
 
“Pengundi akan diajak berfikir bahawa setelah 13 kali mereka memilih BN, mereka harus mencuba Pakatan Rakyat bagi merasai perbezaan. Umpamanya di Selangor rakyat sudah menikmati air paip percuma dan di Kelantan warga tua diberikan perlindungan Takaful Kifalah,” jelasnya.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template