Friday, February 11, 2011

Kakitangan kerajaan Sarawak tolak Taib Mahmud


Hadir program KEADILAN: Kakitangan kerajaan Sarawak tolak Taib Mahmud




KUALA LUMPUR: Kehadiran ramai kakitangan kerajaan dalam program yang dihadiri Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sarawak baru-baru ini mencetuskan gelombang baru penolakan rakyat di negeri itu terhadap pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).



Setiausaha KEADILAN Negeri, Abang Zulkifli Abang Engkeh berkata, sokongan itu menunjukkan mereka tidak sabar menumbangkan kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
“Tidak pernah berlaku sebelum ini apabila kakitangan kerajaan di negeri ini kian berani menghadirkan diri secara terbuka ke program anjuran KEADILAN.
“Sebelum ini, kalau (Datuk Seri) Anwar datang, kakitangan kerajaan biasanya agak kurang dan mereka lebih suka berada di belakang-belakang sahaja kerana enggan dikenali.
“Tetapi kehadiran Anwar di Miri pada 5 Februari lalu amat mengejutkan apabila mereka hadir dalam jumlah agak besar dan turut berada di barisan hadapan,” kata Zulkifli kepada Keadilan Daily.com.
Menurutnya, gelombang itu membangkitkan semangat anggota KEADILAN dan Pakatan Rakyat untuk lebih gigih menarik golongan itu agar berani menyokong perjuangan parti.
“Turut memeranjatkan kami apabila kaum Melanau turut hadir malah lebih awal berbanding kaum lain dalam program parti yang menampilkan Anwar sebagai pemidato utama.
“Apabila kami mendekati, mereka berkata, “Bukan semua Melanau senang walaupun Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud yang juga berketurunan Melanau kaya-raya,” ujarnya.
Zulkifli menjelaskan, kaum Melanau semakin bijak kerana ledakan maklumat hari ini memudahkan pemahaman mereka mengenai isu semasa.
“Masih ramai kaum Melanau miskin dan mereka pertikaikan selama lebih 30 tahun Taib memerintah, kekayaan negeri hanya berlegar dalam kalangan segelintir kroni elit yang rapat dengan beliau dan pada masa sama kebanyakan Melanau berterusan dihimpit kemiskinan.
“Langkah pertama yang rakyat perlu buat ialah mendaftarkan diri sebagai pengundi seterusnya memastikan mereka kembali ke Sarawak dan mengundi setiap calon Pakatan Rakyat pada pilihan raya akan datang,” tegas Zulkifli.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template