Friday, January 21, 2011

SPR bukan berfikiran sempit tapi berfikiran UMNO

Larang logo Pakatan, SPR berfikiran sempit, kata PAS


Tindakan Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) melarang lambang parti dan gambar pemimpinnya yang tidak bertanding dipamerkan dianggap sebagai berfikiran sempit.

“Mengapa SPR terlalu sempit cara berfikirnya?” soal ketua penerangan pemuda PAS, Suhaizan Kaiat.

NONEMenurutnya, calon atau wakil calon sepatutnya diberi hak menentukan bahan kempen pilihan mereka.

“Jika calon atau wakil calon beranggapan bahawa lambang dan gambar pemimpin PAS, DAP, PKR sebagai bahan kempen mereka. SPR sepatutnya menghormati hak kebebasan ini,” katanya.

Suhaizan berkata perkara 24B(4) Akta Kesalahan Pilihan Raya tidak meletakkan syarat hanya parti bertanding sahaja boleh meletakkan lambang dan gambar pemimpin mereka.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Omar semasa taklimat kepada kakitangan dan wakil parti-parti bertanding di Pejabat Majlis Daerah Labis bagi persiapan menghadapi pilihanraya kecil Tenang.

Berjiwa besar

Dalam taklimat itu, SPR melarang sebarang lambang parti dan gambar pemimpin parti yang tidak bertanding dipamerkan semasa tempoh berkempen.

NONESuhaizan berkata, SPR seharusnya terbuka dan berjiwa besar melayani pelanggan mereka.

“Kita bukan mahu melantik pengawas sekolah. Kita mahu melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Janganlah mentafsirkan undang-undang yang boleh ditertawakan oleh kanak-kanak sekolah,” katanya.

Menurutnya, apa yang dinyatakan oleh SPR itu memberi maksud bahawa jika PAS menjadi wakil Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil Tenang selepas penaman calon pada 22 Januari ini, maka lambang parti DAP dan PKR serta gambar Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Sing tidak dibenarkan semasa tempoh berkempen.

NONEKatanya, yang dibenarkan hanya lambang parti PAS dan gambar pemimpin PAS seperti gambar Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Azizi Nik Mat dan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sahaja yang dibenarkan semasa tempoh berkempen berkenaan.

Ini, katanya kerana alasan yang diberikan oleh SPR adalah parti-parti pembangkang PAS, DAP dan PKR masih tidak lagi mendaftar sebagai parti gabungan seperti BN.
Deposit pilihan raya

“Persoalannya bagaimana pemimpin parti pembangkang seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang boleh berkempen tetapi gambarnya tidak boleh dipasang dan lambang partinya tidak boleh dipasang?” soalnya.

NONEKatanya, jika SPR mempunyai tafsiran bahawa hanya parti yang membayar deposit pilihan raya dan deposit kempen sahaja yang boleh meletakkan lambangnya, maka sepatutnya Anwar dan Lim tidak dibenarkan berkempen di sana.

SPR berpendapat memasang lambang dan gambar pemimpin parti yang tidak bertanding adalah menyalahi Akta Kesalahan Pilihanraya (Akta 5).

Katanya, lagi SPR membuat tafsiran bahawa lambang dan gambar pemimpin Umno, MCA dan MIC dibenarkan dalam pilihan raya kerana mereka sudah bergabung dalam BN sedangkan penggabungan PAS, DAP dan PKR belum disahkan oleh pendaftar pertubuhan sebagai satu parti gabungan Pakatan Rakyat.

NONESuhaizan berkata pihaknya memaklumi bahawa PAS, DAP dan PKR sedang dalam proses mendaftarkan sebagai parti gabungan Pakatan.

“Ini memberi maksud bahawa PAS, DAP dan PKR merupakan ahli-ahli gabungan Pakatan yang sedang menanti pihak kerajaan meluluskan sebagai badan gabungan.Oleh itu sudah sewajarnya SPR melayan sama rata antara BN dan Pakatan,” katanya.

Menurutnya, masalah yang dibangkit adalah terlalu kecil dan telah bermula sejak pilihan raya kecil Bagan Pinang lagi dan sepatutnya SPR lebih pro aktif mengatasi masalah berkenaan.

NONE“SPR seharusnya lebih pro aktif mengatasi masalah ini. SPR seharusnya memikirkan isu-isu yang lebih besar lagi seperti penghapusan undi pos, penggunaan dakwat hitam, pendaftaran secara automatik, pembersihan daftar pemilih dan pengawalan keadah berkempen media arus perdana. 

“SPR tidak perlulah membuat tafsiran-tafsiran undang-undang yang pelik sehingga rakyat bosan dan beranggapan SPR memihak kepada parti-parti tertentu dalam negara ini,” katanya.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template