Wednesday, January 5, 2011

Naikkan Harga, dijamin bekalan mesti cukup punya

Kalau makcik2 felda, kelapa sawit dia orang perah tangan je keluar lah minyak. Mereka percaya apa saja BN kelentong. Tak marah punya, kecuali RON 95 naik harga. 

Bekalan pasti cukup Jika naikkan harga. Itu sahaja. Tak perlu lah nak kelentong rakyat sebab bekalan kurang akibat seludup ke negara jiran. Nak naik, naik! kalau harga minyak masak naik, bekalan mesti cukup punya lah. Kalau minyak masak turun harga, memang tak cukup bekalan punya. Masing2 nak untung. Masing2 nak jilat wang rakyat. Pisang goreng mahal woooiii

Ke mana hilangnya minyak masak? - padan muka, undi lah BN lagi


Peniaga, Akasha Ishaq menunjukkan tanda ‘minyak habis’ di kedainya di Pasar Bayan Baru, Georgetown, semalam.



KUALA LUMPUR 4 Jan. – Ke mana hilangnya bekalan minyak masak di negara ini? Itu persoalan yang bermain di fikiran rakyat apabila krisis bekalan bahan itu semakin menular ke seluruh negara.
Selepas Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Negeri Sembilan dan ibu negara, krisis bekalan minyak masak kini turut dialami oleh pengguna di Melaka, Pahang, Sarawak dan Pulau Pinang.
Utusan Malaysia difahamkan, masalah tersebut berpunca daripada pembelian panik berikutan khabar angin harga minyak masak akan naik dalam tempoh terdekat ini.
Bagaimanapun, ramai pengguna pula mengesyaki masalah ketiadaan minyak masak di pasaran sebenarnya berpunca daripada pemborong atau peniaga menyorokkan bekalan untuk menaikkan harga.
Ini kerana, mereka dikatakan mahu mengambil kesempatan atas khabar angin mengatakan harga minyak akan dinaikkan.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kedai-kedai dan kebanyakan pasar raya di seluruh negara langsung tidak menjual minyak masak peket.
Sebaliknya, premis perniagaan tersebut cuma mempamer minyak jagung dan soya serta botol berjenama mahal.
Di Melaka, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri mengakui bekalan minyak masak di beberapa pasar raya dan kedai runcit di negeri itu berkurangan.
Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Abd. Hafidz A.Rahim berkata, walaupun berlaku kekurangan tetapi ia tidak dianggap serius memandangkan bekalan minyak masak daripada pemborong mencukupi.
Beliau menambah, selain faktor pembelian panik, satu faktor lagi yang menyebabkan bekalan menjadi kurang adalah kerana tindakan pihak industri membeli minyak masak yang sepatutnya dijual kepada pengguna secara pukal.
“Hasil pemantauan memang wujud kekurangan bekalan minyak masak kepada pengguna yang dijual di pasar raya dan kedai runcit tetapi ini bukan satu situasi yang serius.
“Apa yang berlaku berpunca daripada sikap panik pengguna gara-gara khabar angin mengatakan harga minyak masak akan naik tetapi hakikatnya itu tidak benar.
“Saya minta orang ramai di negeri ini tidak panik kerana bekalan minyak masak daripada pemborong adalah mencukupi. Kekurangan yang terdapat di pasar raya dan kedai runcit akan diatasi segera,” katanya.
Di Pahang pula, masalah bekalan minyak masak di negeri itu dijangka selesai berikutan para pembekal dan pemborong meningkatkan pengedaran mereka dalam minggu ini.
Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Mohd. A. Aruwan Ab. Aziz berkata, para pembekal dan pemborong sedang meningkatkan pengeluaran mereka bagi memastikan barangan keperluan itu kembali pulih di pasaran.
Menurutnya, masalah kekurangan itu berlaku disebabkan cuti selama tiga hari termasuk cuti umum menyebabkan para pembekal dan pemborong kurang beroperasi dalam tempoh tersebut.
“Namun terdapat sedikit pembelian panik apabila pengguna membeli lebih minyak masak terbabit menyebabkan ia habis awal di pasaran sejak beberapa hari lalu,” ujar beliau.
Menurut Mohd. A. Aruwan, jumlah keperluan minyak masak di negeri itu adalah 3,000 tan metrik sebulan yang mana pengilang dan pembekal akan melakukan pembungkusan sebelum dihantar ke pasar raya dan kedai runcit.
Dalam pada itu, masalah bekalan minyak masak turut melanda Sarawak dengan minyak masak dalam peket habis dijual sejak seminggu lalu manakala yang dijual dalam botol semakin berkurangan.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar bandar Kuching mendapati, keadaan itu menyebabkan para peniaga dan pengguna mengeluh kerana semakin sukar untuk mendapat bekalan.
Seorang penyelia pasar raya, Norkhairulnizam Ali, 29, berkata, pembekal telah mengurangkan bekalan minyak masak dalam peket sehingga separuh daripada jumlah asal sejak bulan lalu.
“Selalunya, kami dibekalkan 100 kotak seminggu yang mengandungi 17 peket minyak masak setiap satu sebelum dikurangkan kepada 50 kotak. Bermula minggu lepas, pembekal langsung tidak datang menyebabkan kami kehabisan bekalan,” katanya.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kedai runcit di sekitar Bayan Baru, Bayan Lepas dan Gelugor di Pulau Pinang pula mendapati kesemua kedai tidak mempunyai bekalan minyak masak termasuk yang peket.
Jika ada pun cuma terdapat minyak masak berkualiti tinggi yang harganya jauh lebih mahal.
Peniaga di Pasar Bayan Baru, Akashia Ishak, 32, berkata, keadaan tersebut sudah dirasai sejak dua minggu lalu dan ia menyukarkannya untuk memenuhi keperluan pelanggan.
“Mereka datang mahukan minyak masak dan bila saya kata tiada, mereka marah-marah sebab sudah dua minggu keadaan ini berlaku. Saya risau kehilangan pelanggan dan keadaan ini memang menyusahkan,” katanya.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template