Friday, January 28, 2011

Laporan CNN bukti Najib fobia dengan kemaraan rakyat


KUALA LUMPUR: Tindakan Datuk Seri Najib Razak mengadu kepada kerajaan Arab Saudi dengan mendakwa dua putera kanan kerajaan tersebut, membiayai Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, menunjukkan Perdana Menteri itu, ketakutan dalam berdepan kemaraan rakyat.
Ketakutan Najib itu terserlah dalam laporan Cable News Network (CNN) bertajuk “Saudis discover new funding channels for Taliban, al-Qaeda”, yang disiarkan beberapa jam lalu.
Sedangkan, laporan risikan Arab Saudi sebelum ini mendapati tiada bukti mana-mana pegawai negara itu membiayai Anwar berdasarkan siasatan sulit yang dibuat kerajaan itu.
“Saya tidak terkejut sekiranya Perdana Menteri sanggup ke luar negara, bukan demi menarik pelaburan tapi semata-mata untuk menyekat dan mentohmah saya. Mereka sebenarnya sudah mula merasai angin perubahan yang bakal melanda.
“Mereka sedar rakyat Malaysia mulai mual dengan segala macam kebobrokan. Kepimpinan Umno Barisan Nasional (BN), sebenarnya fobia dengan kemaraan rakyat,” katanya pada satu kenyataan media hari ini.
Najib pada tahun lalu dilaporkan memberi tekanan kepada Arab Saudi bagi menyiasat dakwaan bahawa  Anwar ada menerima dana dari negara teluk untuk kempen pada pilihan raya umum akan datang.
Presiden Umno itu didakwa mengadu kepada kerajaan Arab Saudi berikutan dua putera kanan negara itu terbabit dengan pemberian dana berkenaan.
Anwar berkata, laporan itu memperlihat reaksi Najib untuk menyekat kemaraan Pakatan Rakyat yang saban hari membina sokongan rakyat demi menyelamatkan Malaysia dari kepincangan pentadbiran BN yang lemah mentadbir negara dan tiris akibat rasuah yang membarah.
Ketua Umum KEADILAN itu berkata, Buku Jingga adalah dokumen mengandungi saranan Pakatan Rakyat demi menyelamatkan Malaysia dari kerakusan dan ketidakcekapan pimpinan Umno BN hingga menyebabkan Najib berasa takut.
“Najib sedar Buku Jingga mendobrak ilusi upaya pemulihan yang didendangkan Umno BN kepada rakyat.
“Akibat tidak mampu berdebat secara terbuka dalam isu ekonomi negara, Najib mula menyerang soal peribadi sedangkan hasrat debat terbuka itu semata-mata mahu menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat Malaysia,” katanya.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template