Sunday, July 4, 2010

Bersih Desak Pendaftaran Pemilih Secara Otomatik


http://suara-keadilan.com/news-section?t=3279
SHAH ALAM 2 Julai - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menuntut kerajaan melaksanakan pendaftaran pemilih secara otomotik bagi menggantikan pendaftaran pemilih sedia ada.
Menurut Presidennya, Datuk Ambiga Sreevanesan, pelaksanaan itu penting bagi memastikan proses pilihan raya dapat berjalan dengan bersih dan adil seperti yang diamalkan di negara jiran.

"Dengan pelaksanaan pendaftaran otomatik ini, ia akan menampilkan Malaysia negara yang jujur dalam usaha untuk mengecapi penglibatan yang sama rata di kalangan rakyat menerusi pendekatan inklusif," jelas beliau dalam satu kenyataan media.
Katanya, Bersih kesal terhadap kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz di parlimen bahawa kerajaan tidak bercadang mengadakan pendaftaran pemilih secara otomatik kerana sebahagian besar rakyat Malaysia tidak tinggal di alamat yang tercatat di dalam kad pengenalan.
Ambiga berkata, kenyataan Nazri yang memberitahu parlimen bahawa kaedah itu juga bertentangan dengan kehendak Perlembagaan adalah hujah dangkal.
"Bersih 2.0 berpendapat bahawa alasan tersebut teramat dangkal. SPR boleh dengan apa cara sekalipun bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Sungguhpun mereka yang mencecah 21 tahun, bermastautin di Kuala Lumpur dan beralamat MyKad di Alor Setar, beliau masih patut diberi peluang untuk mengundi di alamat yang tertera di MyKad mereka.
"Justeru, Bersih 2.0 berpendapat bagi menggalakkan pengundi-pengundi baru yang mencecah umur kelayakan mengundi untuk mendaftar, cara terbaik ialah dengan memperkenalkan pendaftaran otomatik seperti yang dilaksanakan di negara seperti Indonesia dan Australia," katanya.
Menurut Ambiga, prinsip asas dalam pilihan raya ialah memberi hak kepada setiap warganegara yang layak untuk mengundi, tidak kira di mana mereka berada. 
"Adalah menjadi peranan kepada SPR di dalam memastikan pengundi-pengundi mendapat akses kepada undi mereka dan tidak mewujudkan halangan atau pun alasan. Oleh yang demikian, Bersih 2.0, ingin menegaskan SPR menumpukan usaha mereka bagi menjamin hak-hak di dalam memastikan pilihan raya di Malaysia berjalan dalam proses bersih dan adil di dalam rangka kerja berkala dan jujur sehingga setiap warganegara boleh menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi tanpa rasa takut, disogok dengan rasuah mahupun ugutan," tegas beliau.
Pada masa yang sama, Bersih turut mengecam kenyataan Pengerusi Biro Keahlian dan Daftar Pemuda Umno, Hishamudin Yahya bahawa pendaftaran pengundi baru adalah dalam nisbah satu Melayu dan 40 bukan Melayu sebagai berbaur perkauman dan perlu dihentikan.
"Usaha dalam menjalankan reformasi dalam sistem pilihan raya bukanlah menerapkan agenda politik berbaur perkauman tetapi berlandaskan lunas demokrasi perlembagaan.
"Kegusaran parti-parti politik yang berkaitan dengan pendaftaran pengundi baru tidak perlu dikaitkan dengan sambutan dari segi etnik kaum. Sistem pilihan raya demokrasi menekankan aspek bahawa setiap warganegara perlu diberi peluang untuk memilih wakil rakyat mereka," ujar Ambiga lagi.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template