Thursday, October 29, 2009

Bagaimanakah Belanjawan 2010?



Oleh Tempe Goreng



Bajet dan belanjawan Malaysia untuk tahun 2010 akan datang nanti telah di sampaikan oleh PM Najib Razak. Apa natijahnya kepada rakyat bawahan nanti??

Sedangkan dalam beberapa ketika ini rakyat bakal menerima beberapa perkara yang akan ditanggung dan boleh dikira agak drastik dan tidak masuk akal dengan keadaan sekarang. Datuk Seri Husni Hanadzalah telah memberitahu dalam satu sidang akhbar akan rancangan kerajaan bagi menghapuskan terus subsidi minyak ke atas petrol dan diesel. Ini secara tidak langsung akan berikan kesan besar terhadap segala perkara dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia. Secara kreditnya, kerajaan akan dapat meringan dan mengurang beban kewangan dan kos yang ditanggung. Selain itu, kerajaan kononnya akan berjaya mengelakkan dari memberi subsidi kepada golongan yang kaya, berada atau warga asing yang menumpang tinggal di Malaysia. Ada juga ura-ura perlunya menunjukkan kad pengenalan atau mykad bagi kemungkinan memberi perbezaan kadar harga minyak diantara warga asing dan warganegara juga kaya atau miskin. Apa juga keputusan kerajaan masakini perlu memberi kebajikan rakyat secara keseluruhannya kerana golongan sederhana mewakili 60% komposisi penduduk.

Kerajaan yang bertemakan rakyat didahulukan pencapaian diutamakan perlu realistik bahawa perjanjian AFTA yang ditandatangani dengan Amerika Syarikat juga nanti akan memberi kesan langsung selain harga minyak yang akan naik secara bombastik.

Simboliknya pelbagai faedah untuk rakyat bawahan dilihat kurang mendapat perhatian secara sewajarnya dalam pembentangan bajet kali ini. Kebanyakan peratusan peruntukan yang disuntik banyak ke arah swasta dan aspek pengurusan mengguna belanja yang agak tinggi juga.

Satu perkara yang melibatkan pendidikan dan terlepas pandang ialah pemberian skim baucer tiusyen atau SBT. Skim ini ialah untuk dimanfaatkan oleh para pelajar atau murid yang kurang kemampuan atau miskin. PM Najib secara sengaja tidak menghebohkan penghapusan mahupun pembatalan atau penghentian pemberian duit tuisyen kepada murid-murid miskin. Kalau dikira peratusannya pasti murid di negeri di bawah bayu dan di bumi kenyalang ramai dari kalangan yang miskin dan kurang kemampuan yang perlu dibantu oleh kerajaan pusat. Namun keputusan ini langsung tidak menang-menang walaupun PM Najib mengatakan durian runtuh untuk para pelajar Universiti dan Kolej layak mendapat komputer bimbit disamping rebat langganan RM 50 sebulan. Sudah pastinya akan mengecewakan rakyat susah dan kurang kemampuan dalam memberikan tiusyen kepada anak-anak mereka dalam menjamin kecemerlangan dan manfaat pendidikan untuk anak-anak mereka.

Berkenaan hasrat kerajaan ingin melupuskan subsidi minyak yang sudah tentu akan menaikkan kos setiap perkara yang berkaitan dalam kehidupan sehari-harian di negara bertuah Malaysia ini. Bayangkan dahulunya akibat bodohnya dan tidak fikir panjangnya kerajaan BN sanggup menaikkan harga minyak atas dasar harga minyak pasaran dunia telah meningkat lantas kos meningkat kononnya. Padahal kita ada Petronas yang sentiasa maju dan progresif dalam membuat pelaburan di luar negara disamping dalam negara. Tetapi bila mana harga minyak kembali ke paras normal harga minyak tetapnya tidak turun sama seperti sebelumnya. Rentetan kenaikan itu berlaku maka rantaian kenaikan terhadap barangan pengguna dan kos perkhidmatan secara mendadak. Kementerian apatah lagi penguatkuasa seperti hangat-hangat tahi ayam sahaja. Ketidaktegasan dan ketidakupayaan mengekang kenaikan harga barangan secara menyeluruh di seluruh negara amat-amat mengecewakan rakyat keseluruhannya. Kehilangan stok gula dan beras yang terhad pada setiap kali waktu perayaan atau tahun baru seperti sudah menjadi trend bagi menjadi petanda akan berlaku kenaikan harga. Mungkin pengeluar dan para korporat yang kaya-raya bertambah kaya adalah raja dan pembuat keputusan tentang harga dan bukannya kerajaan persekutuan semasa.

Rakyat pasti ingat akan senario bajet dan belanjawan maka pada setiap kali itulah akan berlakunya kenaikan kos pelbagai barangan pengguna mahupun perkhidmatan. Setiap kali kenaikan pada dasarnya disebabkan pemberian bonus oleh kerajaan.
Salah bonus diberi ke??

Bukan, salah kerajaan kerana lemah sangat dalam mengawal dan memantau kenaikan. Takkan salah rakyat. Kalau dikalangan rakyat itu termasuklah pekedai-pekedai, peruncit-peruncit, pemborong-pemborong dan pengusaha-pengusaha yang menaikkan itu ini.
Adakah kerajaan takut dengan golongan seperti mereka ini??

Kesimpulannya, kenaikan tidak patut berlaku kerana negara Malaysia bukan negara kapitalis sepenuhnya. Kita memiliki acuan ekonomi kita sendiri tidak seperti Singapura yang sememangnya bersifat kapitalis atau parasit. Tun Dr M Negarawan Malaysia sendiri pernah berkata dasar globalisasi bukanlah idea yang menguntungkan penduduk atau negara-negara dunia ketiga dan membangun atau negara-negara seperti Malaysia yang dalam senarai negara separa maju. Dasar keterbukaan dan globalisasi hanya menguntungkan negara yang sudah pun terbuka dan memiliki pasaran bebas cukai tersendiri kerana mereka tidak memiliki sumber yang banyak malah terlalu terhad seperti singapura. Bajet 2010 Malaysia diibaratkan menyuntik kadar unjuran pengembangan ekonomi yang lebih mampan namun masih lagi dianggap kurang kuat memberi perlindungan ekonomi Malaysia secara keseluruhannya.

Lantas, adakah kita berasa begitu bertuah tinggal di Malaysia yang ekonominya mempunyai ciri-ciri dominasi kaum tertentu??

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template