Saturday, November 22, 2008

Sistem Islam VS sistem Bretton Woods






Oleh Tempe Goreng

Dipetik dari Utusan Malaysia yang meloyakan...
Malaysia mahu sistem Bretton Woods direka bentuk semula

Daripada Baharom Mahusin

LIMA 21 Nov. - Malaysia mahu prasarana kewangan global yang selama ini diasaskan kepada sistem Bretton Woods yang telah berusia enam dekad direka bentuk semula bagi menangani cabaran baru ekonomi dan krisis kewangan dunia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tiba di ibu kota Peru ini petang semalam bagi menghadiri sidang kemuncak ke-16 Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) berkata, sistem kewangan global yang baru mestilah mencerminkan perdagangan terbuka tanpa dasar fahaman perlindungan.

"Sudah tentu Bretton Woods II harus digubal oleh masyarakat antarabangsa," kata Najib kepada wartawan Malaysia di sini.

Beliau menambah: "Sistem kewangan global yang baru harus dan perlu digubal secepat mungkin kerana banyak produk kewangan hari ini melibatkan urusan yang begitu besar jumlah dan nilainya serta tidak ada pengawasan dan peraturan (yang mencukupi)."

Antara isu penting pada sidang kemuncak APEC di sini yang turut dihadiri Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush ialah krisis kewangan antarabangsa. Selain Bush, sidang kemuncak itu turut dihadiri oleh para pemimpin dari 21 ekonomi APEC, termasuk Presiden China, Hu Jintao serta ketua-ketua negara dan kerajaan negara-negara ASEAN.

Presiden Peru, Alan Garcia Perez menjadi tuan rumah sidang kemuncak itu yang telah bermula di peringkat pegawai pada Ahad lalu sebelum disambung dengan perbincangan peringkat menteri-menteri APEC yang berakhir semalam.

Secara rasmi, sidang kemuncak ketua negara pertubuhan serantau Asia Pasifik itu bermula Sabtu ini.

Sistem Bretton Woods yang menyusun, menyelia dan menetapkan kadar tukaran mata wang dan hubungan kewangan antarabangsa selepas Perang Dunia Kedua diperkenalkan hasil pertemuan bersejarah ahli-ahli ekonomi dan kewangan di Bretton Woods, New Hampshire, AS pada 1945.

Banyak pihak menganggap krisis kewangan global sekarang yang berlaku selepas skandal kredit di AS menjadi bukti kegagalan institusi-institusi Bretton Woods yang selama ini banyak dikawal oleh kepentingan AS dan negara-negara kaya.

Menurut Najib, pada sidang APEC kali ini, masyarakat dunia berharap para pemimpin APEC menyatakan pendirian mereka secara bernas dan tepat mengenai cara-cara untuk menangani krisis kewangan global yang menghantui dunia.

Beliau berkata, sidang kemuncak itu akan menyentuh dua persoalan utama, pertamanya mengenai krisis kewangan dunia dan kedua, isu-isu lain termasuk keganasan, pelanunan, perubahan iklim, keselamatan makanan, sekuriti tenaga dan integrasi ekonomi APEC.

"Berhubung krisis kewangan global, Malaysia akan menyatakan pendiriannya. Kita akan membuat pendirian bahawa sistem kewangan global dan sistem perdagangan global mestilah mencerminkan sistem perdagangan terbuka serta tidak boleh ada unsur fahaman perlindungan dan perbuatan melihat ke dalam," kata Najib.

Di Lima, selain terlibat dalam pemukiman ketua-ketua ekonomi 21 negara APEC dalam sidang kemuncak tahunan itu, beliau yang juga Menteri Kewangan akan turut mengambil bahagian dalam dialog Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) Sabtu ini dan diletakkan dalam kumpulan bersama pemimpin dari Chile, Rusia dan Hong Kong.

Menurut Najib, dalam sidang kemuncak itu beliau akan berusaha membangkitkan pentingnya keadilan dalam hubungan ekonomi antara negara-negara dunia.

Tegasnya: "Apa-apa jua yang kita lakukan perlu adil kepada negara-negara maju dan pada masa yang sama ia juga kena adil kepada ekonomi sedang membangun termasuk Malaysia.

"Saya juga akan menyentuh tentang langkah dalaman yang boleh dilakukan oleh Malaysia dan negara-negara lain, yakni melalui rangsangan fiskal dan kewangan, untuk membendung ekonomi masing-masing supaya tidak merosot menjadi kemelesetan domestik dan global."

- Utusan

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hari-hari rakyat susah 2.0 Copyright © sejak 2007 Hari-hari rakyat susah 2.0 Keretaburuk/Tempe Goreng Blogger Template